.

04 Februari 2010

PEKAK, BISU MAMPU TUNAI IBADAT

Dr. mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA ada ibu saudara yang bisu serta pekak. Ibu saudara lain mengatakan ibu saudara saya ini tidak perlu berpuasa, bersolat dan ibadat wajib yang lain serta mengatakan orang OKU seperti ini adalah ahli syurga. Bagaimanapun, saya dapati ibu saudara saya bukan cacat akal serta masih seperti orang normal lain kecuali bercakap dan mendengar. Mohon penjelasan atas perkara ini kerana mengikut pengamatan saya dalam masyarakat yang mempunyai keluarga OKU ramai yang berpendapat begini.

Mereka mengabaikan asuhan agama kepada anak-anak OKU kerana berpendapat mereka memang sudah ahli syurga. Mohon penjelasan Datuk.

CHE MAT
Kota Bharu

JAWAPAN

Orang yang bisu dan pekak masih boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Tidak mustahil bagi mereka untuk belajar selama mana mereka masih berakal. Mereka masih boleh belajar tuntutan agama seperti solat melalui bahasa isyarat. Melalui kaedah yang ada hari ini orang bisu dan pekak boleh berkomunikasi sesama sendiri bahkan berkahwin dan menjalani hidup seperti orang lain kerana mereka juga mempunyai nafsu sama seperti orang lain cuma tidak dapat mendengar dan berbicara sahaja.

Kecacatan pekak dan bisu tidak menghilangkan taklif dan kewajipan. Akal mereka masih waras dan selama mana mereka waras, mereka mempunyai tanggungjawab seperti orang lain. Soal siapa akan menjadi ahli syurga bukan kita yang menentukannya. Hanya amalan dan rahmat Allah saja dapat menempatkan manusia itu di syurga atau sebaliknya.

SERAH SEMUA HARTA AYAH KEPADA IBU

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

BAPA saya baru meninggal dunia dan emak saya masih hidup serta saya mempunyai empat adik beradik semuanya lelaki. Apabila bapa saya meninggal, kami empat beradik bersetuju dan bersepakat untuk menyerahkan semua peninggalan bapa saya kepada emak iaitu, duit, duit simpanan KWSP, rumah, kenderaan, pakaian dan lain-lain kepunyaan arwah tanpa mengagihkannya secara hukum faraid. Bolehkah kami berbuat demikian? Selepas emak saya menerima semua peninggalan itu beliau mengizinkan kami empat beradik menggunakan semua peninggalan arwah seperti dinyatakan di atas. Emak juga meminta kami membantu beliau untuk melaksanakan keinginan arwah seperti menyiapkan rumah dengan menggunakan wang peninggalan arwah. Adakah ia dibolehkan? Adakah kami berdosa kerana tidak mengikut hukum faraid?

YUS
Melaka

JAWAPAN

Hukum faraid hanya akan dilaksanakan bila si mati tidak merancang pembahagian harta. Dalam masalah ini, jika semua pewaris sepakat dan bersetuju untuk melepaskan hak mereka dan memberikan pada ibu, maka mereka boleh berbuat demikian. Dengan persetujuan semua pihak pewaris untuk menghadiahkan kepada ibu, kini harta itu menjadi milik ibu. Dia berhak sepenuhnya untuk menggunakannya sama ada menyiapkan rumah atau apa saja yang dihajati kerana harta itu sudah menjadi miliknya.

MIQAT UMRAH DI JEDDAH

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA ada soalan mengenai umrah. Saya ingin tahu di manakah tempat miqat bagi saya kerana saya akan turun di Jeddah terlebih dulu untuk beberapa hari berjumpa ibu bapa yang menetap di sana.

Selepas itu barulah saya akan pergi ke Makkah untuk mengerjakan umrah. Adakah Miqat saya sama seperti jemaah umrah/haji yang lain yang datang dari Malaysia atau sama seperti penduduk yang bermastautin di sana?

INGIN TAHU
Kuala Lumpur

JAWAPAN

Bagi mengerjakan umrah dan haji ada miqatnya yang tersendiri. Miqat dibahagikan kepada dua iaitu Miqat Zamani - batas yang ditentukan berdasarkan waktu: Bagi haji, miqat bermula pada bulan Syawal sampai terbit fajar tanggal 10 Zulhijjah iaitu ketika ibadat haji dilaksanakan. Bagi umrah pula, Miqat Zamani bermula bila-bila masa sepanjang tahun memandangkan umrah boleh dilakukan bila-bila masa.

Kedua; Miqat Makani - batas yang ditentukan berdasarkan tempat: Bagi mereka yang duduk di Makkah, tempat untuk ihram haji adalah Makkah itu sendiri (rumah sendiri). Bagi umrah pula ialah keluar dari tanah haram Makkah iaitu seelok-eloknya di Jiranah, Taneim atau Hudaibiyah. Bagi mereka yang datang dari sebelah timur seperti Malaysia, tempatnya adalah di Yalamlam atau Jeddah. Jika berniat dari Jeddah maka perlulah membayar dam kerana melanggar miqat.

HIDUP TERTEKAN SERUMAH MADU

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA isteri kedua. Ketika awal perkahwinan, kami tinggal berasingan. Suami hanya balik rumah seminggu sekali dan tidak pernah bermalam. Baru-baru ini suami meminta saya dan madu untuk tinggal serumah. Pada mulanya saya tidak bersetuju kerana takut ada perasaan cemburu tetapi demi menjaga hati suami saya terpaksa mengalah.


Hari pertama berpindah sudah ada tanda cemburu dari isteri pertama. Madu saya sangat cemburu dan boleh dikatakan dia dan suami selalu bertengkar. Apabila bertengkar, madu saya akan menyebut nama saya mengatakan suami berat sebelah. Pernah sekali madu hampir menampar saya kerana saya menegurnya bangun lewat sehingga terlepas solat. Dia sering berkata saya mengambil suaminya. Madu saya tidak bekerja sementara saya menjawat jawatan yang agak tinggi dan mempunyai pendapatan sendiri. Sudah banyak kali saya meminta untuk tinggal berasingan kerana saya berasa sangat tertekan sejak tinggal serumah dengan madu. Selepas banyak kali merayu, akhirnya suami setuju untuk mencari rumah lain. Saya ingin tahu, adakah saya dikira cuba memutuskan persaudaraan antara madu kerana niat saya baik, tidak mahu bergaduh kerana perasaan cemburu. Adakah tindakan ini wajar?

UMIRA
Petaling Jaya


JAWAPAN

Suami yang mengamalkan poligami perlu bersikap adil pada kedua-dua isterinya. tidak wajar meletakkan kedua-dua isteri di bawah satu bumbung kerana ia akan menimbulkan rasa cemburu yang berlebihan bila melihat suami melayan seorang daripada mereka. Tidak timbul istilah puan memutuskan persaudaraan kerana ia lebih baik untuk puan dan madu.

Duduk berjauhan bukan memutuskan saudara, sebaliknya ia mungkin lebih baik bagi mengekalkan persaudaraan yang ada. Puan sebenarnya memohon hak puan yang perlu diberikan suami iaitu menyediakan tempat tinggal bagi isteri. Usah terlalu memikirkan perkara yang bukan-bukan. Jaga dan laksana tugas sebagai isteri kedua dengan baik dan adil. Sesekali bila keadaan reda dan madu dapat menerima puan sebagai adiknya bolehlah puan berjumpa dengannya. Berilah dia sedikit masa untuk menerima keadaan ini.

ISTERI ASYIK BERCINTA

Dr. Mashitah Ibrahim


SOALAN

HARUSKAH saya menceraikan isteri yang asyik bercinta dengan orang lain? Dayuskah saya kerana tidak menceraikannya dan membiarkannya? Sudah banyak kali saya menegur tapi jadi bahan perbalahan. Untuk pengetahuan puan kami sudah 20 tahun berkahwin dan mempunyai empat anak.

SUAMI KECEWA
Terengganu


JAWAPAN

Perceraian adalah jalan terakhir sesudah semua jalan lain tidak lagi mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Dalam usia yang matang selepas agak lama mendirikan rumah tangga seharusnya tuan lebih faham akan perangai isteri. Jika suami yang tahu isterinya curang, namun tidak berbuat apa-apa maka dayuslah dia.

Suami yang tahu masalah isteri yang curang wajib baginya menasihati isteri itu terlebih dulu dan mencari punca masalah jika mungkin datangnya daripada suami sendiri.

Selepas dinasihati dan dimaklumkan isteri akan diboikot (dipulaukan) daripada tempat tidur. Jika isteri masih ingkar maka jalan terakhir ialah menceraikan isteri yang curang, ingkar serta nusyuz.

HUKUM IKAT RAHIM

Dr. Mashitah Ibrahim


SOALAN

SAYA ingin bertanya mengenai wanita yang mengikat rahim untuk mengelak mengandung memandangkan usia sudah meningkat.

Seandainya wanita itu meninggal dunia adakah mayatnya perlu dibedah untuk membuka kembali ikatan pada rahim wanita berkenaan?

Bagaimana pula dengan penggunaan alat pencegahan kehamilan lain seperti IUD atau implan.

Adakah ia juga perlu dikeluarkan jika wanita itu meninggal dunia?

ILAH
Kedah


JAWAPAN

Segala peralatan luar yang tidak memudaratkan mayat boleh dibuka ketika seseorang itu meninggal dunia.

Ia seperti gigi palsu yang boleh ditanggalkan. Alat-alat yang sudah ditanam dan mungkin memudaratkan mayat sehingga terpaksa dibedah tidak perlu dibuang.

Ia termasuk seperti ikatan rahim misalnya ia tidak perlu dibuka daripada mayat sehingga terpaksa melakukan pembedahan pula.

Harus untuk menanam mayat itu dengan implannya.